5.1.17

Ciri seorang sahabat mengikut islam

Assalamualaikum

Sekali lagi berpeluang untuk satu perkongsian dari maq. Di group tanya ustaz, difacebook milik maq , seorang hamba Allah mengajukan soalan mengenai ciri seorang kawan/sahabat yang dititik beratkan dalam islam. Ini jawapan dari ustaz :

Untuk mencari sahabat sejati sila baca nota ini : Watak Sahabat Sejati

Setiap mukmin perlu kepada sahabat, kerana sahabat yang baik akan mendorong kita untuk mentaati Allah SWT dan menjauhkan larangan-Nya. Dalam hadis Nabi SAW ada menyatakan ciri-ciri sahabat yang baik iaitu :

1.Memberitahu temannya bahawa dia kasih dan suka kepadanya.

Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Jika seseorang kasih kepada seseorang makanya hendaklah dia memberitahu temannya" (Hadis Riwayat Abu Daud)

2.Apabila berpisah dengan seseorang maka hendaklah dia mendoakan sahabatnya tanpa pengetahuannya.

Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Setiap hamba muslim yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuannya pasti akan didoakan malaikat dengan berkata engkau juga akan mendapat seumpamanya." (Hadis Riwayat Muslim)

3.Sentiasa bermanis muka ketika berjumpa sahabatnya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Janganlah kamu meremehkan kebajikan sedikit pun , sekalipun dengan berjumpa temanmu dalam keadaan wajah yang ceria"
(Hadis Riwayat Muslim)

4.Segera bersalaman ketika bertemu dengan temannya.

Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Setiap dua orang Islam yang berjumpa dan bersalaman pasti akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah."
(Hadis Riwayat Abu Daud)

5.Amalan ziarah-menziarahi.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu menziarahi sesekali nescaya akan menambah kasih sayang antara kamu."

6.Memberi Hadiah.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu saling memberi hadiah nescaya kamu akan berkasih sayang." (Hadis Riwayat Thabrani)

7.Membantu sahabat-sahabatnya dalam kesusahan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Orang yang berjalan untuk menunaikan hajat sahabatnya lebih baik daripada orang yang beriktikaf selama dua bulan." (Hadis Riwayat Hakim)

Selain daripada hadis Nabi SAW di atas terdapat kata-kata nasihat daripada seorang ulama muktabar yang  bernama Al-Qamah . Beliau berpesan kepada puteranya :

"Wahai anakku! Kiranya engkau merasakan perlu bersahabat, maka pilihlah sifatnya yang berikut:

1.Jika engkau membuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.

2.Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, ia akan membalas baik persahabatanmu.

3.Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.

4.Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.

5.Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.

6.Jika ia melihat yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.

7.Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.

8.Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.

9.Jika datang suatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

10.Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.

11.Jika engkau merancang sesuatu, nescaya ia akan membantumu.

12.Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan."

Oleh itu apabila kalian ingin mencari sahabat maka carilah ciri-ciri atau sifat-sifat mulia yang dinyatakan di atas. Sekiranya tidak bertemu ciri-ciri tersebut maka carilah sahabat yang mempunyai sebahagian atau menghampiri ciri tersebut nescaya kalian akan berjaya dalam bersahabat. Janganlah bersahabat dengan mereka yang buruk akhlaknya atau mementingkan diri sendiri kerana dikhuatiri peribadinya akan mempengaruhi kalian.

Semuga memberi manfaat buat semua .

No comments: